SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menetapkan 17 Disember depan bagi pendengaran permohonan injunksi berhubung pertikaian jawatan Undang Luak Jelebu.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh Hakim, Roz Mawar Rozain selepas permohonan berkenaan didaftarkan dan dibawa ke mahkamah untuk prosiding pada pukul 4.35 petang tadi.

Permohonan tersebut difailkan oleh Datuk Azrin Khairi terhadap Maarof Mat Rashad selaku responden.

Dalam permohonan itu, Azrin memohon deklarasi mahkamah bahawa beliau merupakan satu-satunya Undang Luak Jelebu Ke-17 yang sah dan berhak menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman.