PETALING JAYA – Seorang lelaki kurang siuman berusia lingkungan 30-an ditahan selepas dipercayai menceroboh dan memecahkan cermin sebuah rumah di Jalan 5/17A, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.25 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan di lokasi dan keterangan saksi mendapati lelaki berkenaan dipercayai menceroboh serta memecahkan cermin rumah sebelum ditemukan terbaring di halaman kediaman tersebut.
“Suspek berusia lingkungan 30-an telah ditahan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan kerana dipercayai mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.










