Kuala Lumpur: Proton Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan varian S70 RS, model sedan yang sarat dengan penambahbaikan lebih garang dan sporty, dengan pembaharuan menyeluruh merangkumi reka bentuk luaran, kemasan dalaman, prestasi pemanduan serta teknologi keselamatan dan sambungan digital.
Penambahbaikan bernilai RM15,000 itu menyaksikan S70 RS menerima pendekatan reka bentuk lebih dinamik, dengan penampilan luaran diperkemaskan menerusi gril hadapan dan bampar baharu bagi menyerlahkan karakter sporty model berkenaan.
Antara perubahan paling ketara ialah penggunaan rim aloi gelap 17 inci, angkup brek merah, bumbung hitam Quartz, pemegang pintu dan cermin sisi berwarna sama, selain spoiler belakang serta skirt sisi eksklusif yang memperkukuh penampilan lebih agresif.









