Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang akademik, malah turut memberi penekanan terhadap ketinggian budi, adab serta memiliki sifat keprihatinan dan kemanusiaan.
Justeru, universiti berkenaan menggerakkan pelbagai kegiatan kemahiran insaniah dan kesukarelawanan supaya pelajarnya dididik secara tidak langsung untuk membantu masyarakat. Terbaru, UPSI menerusi Pusat Transfomasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Pasukan Kesukarelawanan Fakulti Sains Kemanusiaan (V-FSK4U) mengambil tindakan proaktif menggerakkan sukarelawan melaksanakan Misi Pasca Banjir Teluk Intan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, UPSI sentiasa prihatin dan cakna dengan nasib yang menimpa penduduk yang menjadi mangsa banjir.









