KOTA BHARU: Ancaman banjir darat yang boleh berlaku akibat hujan lebat berterusan dan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air turut diberi perhatian oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menjelang musim tengkujuh.

Keadaan itu bukan sahaja berisiko melanda kawasan perumahan dan bandar, malah penempatan rendah serta lokasi yang mempunyai masalah sistem saliran.

Ketua Cawangan Pengurusan Sekretariat APM Negeri Kelantan, Kapten (PA) Mohd. Ammar Ismail berkata, banjir darat boleh menyebabkan jalan raya dinaiki air sekali gus mengganggu pergerakan penduduk dan menyukarkan akses pasukan penyelamat ke kawasan terjejas.

“Selain banjir sungai, banjir darat turut menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian, khususnya apabila hujan lebat berterusan menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung aliran air,” katanya kepada Utusan Malaysia.