KLUANG – Seorang wanita yang belum habis edah ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berstatus duda di dalam bilik sebuah rumah sewa di bandar ini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditangkap berdua-duaan dalam bilik sewa dengan seorang lelaki berusia 27 tahun ketika serbuan penguatkuasa JAINJ kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Melalui kenyataan itu, serbuan hasil maklumat orang ramai itu pada mulanya berhadapan detik cemas apabila lelaki berkenaan cuba terjun dari tingkap tingkat satu rumah sewa berkenaan, namun tidak meneruskan niatnya sebaik menyedari ada anggota penguatkuasa yang sedang menunggu di bawah.

Berikutan itu, lelaki berkenaan yang berseluar pendek dan berbaju T akur untuk membuka pintu bilik sebelum menemui seorang wanita berseluar panjang dan berbaju T.