SEMPORNA: Tiga individu termasuk dua pelancong China cedera selepas bot mereka mengalami masalah enjin sebelum dirempuh sebuah bot lain di perairan Pulau Singamata di sini, semalam.
Dalam kejadian 11.12 pagi itu, bot membawa lapan penumpang China bersama seorang juragan dan tiga kru sedang dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju Pulau Bohey Dulang.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah, berkata bot berhenti di perairan Pulau Singamata selepas enjinnya tersangkut sampah.
Beliau berkata, ketika kru bot berusaha membuang sampah tersangkut, ia dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi bot pelancong.









