SERDANG – Jenazah tiga saudara yang maut selepas disambar petir ketika membaiki kereta di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang petang semalam dijangka dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kampong Hampalan Kajang, Semporna, Sabah, esok.

Bapa saudara mangsa, Mohd Asli Nelzaman, 45, berkata, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang sebaik urusan bedah siasat dan dokumentasi selesai di Hospital Serdang.

Menurutnya, jika segala urusan dapat diselesaikan petang ini, jenazah dijangka diterbangkan ke Sabah pagi esok untuk dikebumikan di kampung halaman mereka.

“Kalau selesai petang ini, esok pagi kita bawa balik Semporna. Keluarga di sana juga sudah membuat persediaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.