BIARPUN gagal mengekalkan momentum untuk menembusi kelompok empat terbaik pada penghujung perlumbaan, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tetap berpuas hati apabila menamatkan Grand Prix (GP) Qatar di kedudukan ketujuh di Litar Antarabangsa Lusail, kelmarin.

Kutipan sembilan mata yang diraih pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu membolehkannya terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lapan pelumba terbaik keseluruhan kejuaraan dunia dengan mengumpul 125 mata.

Memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, pelumba berusia 19 tahun kelahiran Terengganu itu bagaimanapun berdepan kesukaran pada peringkat awal selepas melakukan pelepasan kurang sempurna sehingga jatuh di kedudukan 13.

Namun, Danish tidak mudah mengalah apabila secara berperingkat meningkatkan rentak tunggangan sebelum mula merapatkan jurang dengan kelompok pelumba di hadapan dalam perlumbaan 16 pusingan itu.