SUNGAI PETANI: Tindakan dua sahabat cuba berteduh di bawah jejambat bagi mengelak hujan mengundang padah apabila seorang maut manakala, seorang lagi parah selepas motosikal mereka tunggang bergesel dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 96.2 Lebuhraya Utara-Selatan di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa Mohd Khairul A’zami Mohd Nazeri, 23, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan,manakala rakannya Muhammad Adib Zamri,23, cedera parah di bahagian kaki dan badan.

Pemandu treler berumur 40 tahun dan berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku semasa kedua-dua rakan sekampung daripada Kampung Permatang Kong, Mukim Padang Hang, Alor Setar itu cuba berhenti untuk berteduh ketika hujan lebat tengah malam tadi.