KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan Selangor, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan supaya menyegerakan tindakan menangani masalah banjir di Selangor termasuk meningkatkan kekerapan pembersihan parit dan sungai di negeri itu.
Perdana Menteri berkata, melalui Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor, semalam, beliau dimaklumkan kerajaan negeri menyediakan dana tambahan bagi kerja pembersihan itu dan Majlis Perbandaran serta Majlis Daerah diminta melaksanakannya segera.
Beliau menegaskan wujud keperluan untuk kerajaan Selangor bertindak lebih pantas dalam melaksanakan kerja pembersihan parit dan sungai sama seperti yang dilaksanakan di Kuala Lumpur.









