NUSA DUA: Harga minyak sawit Malaysia dijangka berada dalam lingkungan RM4,500 hingga RM5,000 satu tan metrik sehingga April 2027 berikutan kitaran pengeluaran buah kelapa sawit dijangka memasuki fasa hasil rendah pada Februari susulan kemarau akibat fenomena El Niño tahun ini, kata penganalisis terkemuka, Dorab Mistry.

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) penanda aras didagangkan pada RM4,447 (AS$1,091.02) setakat rehat tengah hari tadi.

Harga komoditi itu merosot ketara sejak akhir Oktober berikutan peningkatan paras stok di Malaysia yang menjejaskan sentimen pasaran.

Pasaran sebelum ini menjangkakan pengeluaran minyak sawit akan terjejas akibat kemarau berkaitan El Niño.