PETALING JAYA: Penurunan harga minyak mentah dunia dijangka memberi kesan bercampur kepada ekonomi Malaysia apabila penjimatan kos subsidi bahan api berpotensi mengimbangi penyusutan hasil petroleum kerajaan.

Hal ini kerana Malaysia mempunyai kepentingan dalam sektor minyak dan gas, namun kedudukannya sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) dan pengimport bersih minyak mentah menyebabkan perubahan harga minyak dunia memberi kesan berbeza terhadap perdagangan negara.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan harga minyak dijangka memperlahankan aktiviti sektor perlombongan, namun pada masa sama memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan menerusi pengurangan kos input serta tenaga.