Kerajaan mengambil langkah intervensi untuk mengelakkan gangguan bekalan dan kenaikan harga minyak masak botol yang boleh membebankan pengguna.PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM15 juta sebulan bagi mengekalkan harga siling minyak masak sawit tulen dalam botol susulan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata langkah itu dilaksanakan menerusi Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 Nov lalu.

Menurutnya, mekanisme itu membolehkan harga siling minyak masak botol dikekalkan pada RM6.90 bagi 1kg, RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).

Beliau berkata keputusan itu mengambil kira trend peningkatan harga CPO dunia sejak Jun 2025 yang terus memberi tekanan kos kepada industri pengilangan, sehingga menyebabkan beberapa syarikat menghentikan pengeluaran kerana sukar mematuhi harga siling ditetapkan.