PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju mengekalkan syarat minimum kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke program perubatan di Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), seperti yang diputuskan sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, lepasan UEC yang memenuhi syarat minimum B4 dalam lima mata pelajaran ditetapkan kekal layak memohon kemasukan terus ke program ijazah perubatan di IPTS.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mencapai satu ketetapan iaitu mengekalkan syarat minimum kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu ataupun UEC ke program pengajian perubatan sepertimana syarat sebelum pindaan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.