PETALING JAYA: Gelombang biru Barisan Nasional (BN)–Perikatan Nasional (PN) sedang mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan yang ketara berbanding Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi dan penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri menjadi tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

“Unjuran Ilham Centre meletakkan BN–PN di hadapan dalam 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

“Manakala dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH iaitu Ayer Keroh dan Kesidang dikategorikan sebagai sengit,” katanya dalam kenyataan.