Kuala Lumpur: Kenaikan ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan disifatkan sebagai pengiktirafan bermakna terhadap pengorbanan atlet para negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menaikkan kadar ganjaran berkenaan, termasuk bagi acara berpasukan pada Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari atas keprihatinan memastikan atlet para turut menerima pengiktirafan sewajarnya.
Menerusi kadar baharu itu, ganjaran pingat emas meningkat daripada RM15,000 kepada RM40,000 bagi setiap atlet, manakala perak dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 dan gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000.









