KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjadi pemacu utama kecekapan tenaga dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi keupayaannya mengoptimumkan penggunaan elektrik, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi, berkata meskipun teknologi AI memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi, pemilihan teknologi dan sistem yang tepat mampu mengurangkan keperluan pemprosesan data sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.
Menurutnya, terdapat tiga pendekatan utama untuk meningkatkan kecekapan tenaga menerusi AI, iaitu penggunaan teknologi AI bersesuaian di pusat data, pelaksanaan sistem AI yang lebih cekap dalam perusahaan serta peralihan kepada sumber tenaga bersih.









