PETALING JAYA – Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga melalui operasi pusat data, malah berpotensi membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik, mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi berkata, meskipun AI menggunakan tenaga yang tinggi, penggunaan teknologi dan sistem yang tepat mampu mengurangkan keperluan pemprosesan data, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.
Menurutnya, terdapat tiga pendekatan utama bagi mencapai matlamat tersebut, iaitu penggunaan teknologi AI yang bersesuaian di pusat data, pelaksanaan sistem AI yang lebih cekap dalam perusahaan, serta peralihan kepada sumber tenaga bersih.









