KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) dijangka dibentangkan di Parlimen seawal suku pertama tahun hadapan bagi mengekang risiko teknologi berkenaan serta memperkukuh ekosistem penguatkuasaannya di negara ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata draf akhir RUU berkenaan sudah siap dan kini sedang diedarkan ke semua kementerian bagi mendapatkan maklum balas sebelum dibawa ke peringkat Kabinet.

Beliau berkata, selain menggubal perundangan baharu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembentukan badan penguatkuasaan yang efektif menerusi AI Malaysia dan inisiatif AI Safe bagi memastikan setiap aduan serta risiko berkaitan keselamatan AI dapat ditangani secara menyeluruh.