KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan lokasi transit untuk mengeksport semula cip unit pemprosesan grafik (GPU) yang tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat (AS).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata penelitian itu bertujuan mengenal pasti peruntukan yang boleh digunakan terhadap pihak yang menjadikan Malaysia sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport.

Katanya, pergerakan dan penggunaan cip semikonduktor berteknologi tinggi perlu dipantau dengan lebih rapi susulan sekatan yang dikenakan AS.

GPU berprestasi tinggi menjadi komponen penting dalam pengendalian pusat data, pengkomputeran awan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).