SERDANG: Malaysia dan China mempunyai ikatan ekonomi yang bersifat saling melengkapi selain mempunyai potensi besar untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara perlu memperluaskan lagi kerjasama ekonomi melangkaui bidang perdagangan serta pelaburan tradisional dengan memfokuskan kepada sektor inovasi, industri dan pembangunan bakat.

Beliau berkata, hubungan Malaysia-China yang sekian lama terjalin perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama lebih menyeluruh bagi membuka ruang kepada penciptaan nilai lebih besar kepada komuniti perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Perkongsian kita melangkaui perdagangan dan pelaburan tradisional. Kita perlu terus bekerjasama untuk menerima pakai inovasi, memperkukuh kerjasama industri, membangunkan bakat dan mewujudkan nilai lebih besar kepada perniagaan serta rakyat kita,” katanya.