GOMBAK – Tekanan jiwa selepas ditinggalkan kekasih dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga asing mengamuk sebelum menetak pergelangan tangan kanan anggota polis di Desa Aman Puri di sini, semalam.

Seorang penduduk, Mohd. Aidil Roslan berkata, suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan kekasihnya yang menetap di blok bersebelahan sejak lebih sebulan lalu.

“Sebelum ini, kami ada lihat dia tinggal bersama kekasihnya, namun wanita terbabit kemudian berpindah ke kediaman lain bersama teman lelaki baharu. Mungkin sebab itu dia murung,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Aman Dua, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek tinggal setingkat di bawah unit kediamannya sering menjerit-jerit, selain kerap bertengkar dengan teman serumah dalam tempoh dua minggu ini.