KAHERAH – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton menggesa Israel supaya segera membuka laluan lintasan sempadan Rafah bagi membenarkan ratusan trak bantuan kemanusiaan yang terkandas masuk ke Semenanjung Gaza.
Pemandu utama pasukan Ferrari itu membuat gesaan berkenaan selepas mengadakan lawatan mengejut ke bahagian sempadan Rafah di Mesir pada Selasa lalu, sejurus menamatkan perlumbaan Grand Prix São Paulo di Brazil.
Menerusi satu hantaran di media sosial semalam, Hamilton menyifatkan situasi sekatan bantuan di pintu masuk berkenaan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan menuntut Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata.
“Israel mesti menunaikan tanggungjawab mereka di bawah perjanjian gencatan senjata dan membenarkan trak bantuan ini masuk,” katanya seperti dipetik daripada laporan portal berita sukan, Sky Sports.









