RAFAH: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton menggesa Israel membenarkan trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza selepas menyaksikan sendiri situasi penghantaran bekalan yang berdepan kelewatan di sempadan Rafah, Mesir.
Pemandu Ferrari itu membuat gesaan berkenaan selepas mengunjungi kawasan sempadan Rafah pada Selasa lalu, selain diberi taklimat mengenai proses penyediaan dan penyelarasan bantuan sebelum dihantar ke Gaza.
Lawatan berkenaan turut merangkumi kunjungan ke gudang bantuan Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish, lokasi bekalan kemanusiaan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada penduduk Palestin.
Menerusi perkongsian di Instagram, Hamilton menyifatkan penderitaan rakyat Gaza sejak tiga tahun lalu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan, selain mengecam layanan tidak adil terhadap penduduk awam.









