KUALA LUMPUR: Tragedi kepala air di Kuala Kubu Bharu, yang meragut lima nyawa perlu dijadikan iktibar untuk memperketat langkah keselamatan aktiviti rekreasi air, termasuk menutup sementara kawasan berisiko tinggi ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian yang dilaporkan menyebabkan lapan individu dihanyutkan arus deras itu menunjukkan risiko melakukan aktiviti rekreasi berhampiran sungai dan air terjun, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Beliau menggesa orang ramai supaya mengelakkan aktiviti berenang, mandi, berkelah dan berkhemah berhampiran sungai, air terjun serta kawasan jeram ketika hujan lebat.