PARIS: Siri serangan siber yang menyasarkan pasar raya dan bank darah di Eropah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur penting, susulan Perancis menuduh Iran bertanggungjawab mendalangi insiden berkenaan.

Serangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai ancaman perang hibrid yang menggunakan ruang siber untuk mengganggu operasi negara, selain kaedah ketenteraan konvensional.

Menurut laporan Arab News, serangan berkenaan pada mulanya disyaki dilakukan penggodam yang tidak berpuas hati atau penjenayah siber yang mahu menuntut wang tebusan.

Bagaimanapun, kerajaan Perancis pada Isnin menyifatkan serangan itu sebagai tindakan berskala besar dan agresif yang belum pernah berlaku sebelum ini.