PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan prestasi cemerlang apabila berada di kelompok lapan terbaik keseluruhan dengan keputusan dua podium musim ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kini mengumpul 125 mata keseluruhan selepas menokok sembilan mata lagi dari Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, hujung minggu lalu.

Hakim Danish merupakan pelumba terbaik Malaysia mengatasi senior-seniornya yang pernah tampil dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, lebih-lebih lagi jika dinilai pencapaian keseluruhan dan kutipan mata yang berjaya dikutipnya untuk musim pertama.

Hakim Danish berpeluang menambah koleksi matanya itu dengan dua perlumbaan masih berbaki di Portugal (20-22 November) dan Valencia, Sepanyol (27-29 November) sebelum musim 2026 menutup tirai.