GENEVA: Switzerland mengumumkan bahawa negara itu sedang menyediakan bekalan tempat perlindungan kecemasan untuk ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir teruk di Semenanjung Gaza, selain menyalurkan bantuan kewangan, lapor Anadolu Ajansi.

"Susulan banjir teruk, ribuan keluarga yang kehilangan tempat tinggal amat memerlukan tempat perlindungan dengan segera," menurut Kementerian Luar Switzerland menerusi platform X.

Kementerian itu memaklumkan bahawa Switzerland sedang menyediakan 300 khemah keluarga yang dilengkapi kit musim sejuk serta 2,000 kain terpal bagi membantu kira-kira 3,500 orang menerusi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

Bantuan itu turut disertai sumbangan sebanyak 2 juta franc Switzerland (hampir AS$2.5 juta) kepada Program Common Pipeline IOM, yang menyokong penyediaan bekalan bantuan kemanusiaan.