KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan warga asing yang berada di negara ini supaya sentiasa menghormati undang-undang Malaysia dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Melahirkan rasa kesal dan sedih dengan insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di Kepong malam tadi, beliau berkata sebarang ketidakpuasan hati tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak ganas atau menghalang tugas penguatkuasaan.
“Perbuatan ganas seperti ini sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi terhadap anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.








