BERBEKALKAN sebuah kayak dan gewang pensel sepanjang 10 sentimeter, seorang pemancing muda berjaya memperdaya dua ekor ikan toman di Danau Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan menggunakan teknik casting yang memerlukan kesabaran serta ketepatan.
Bagi Muhammad Rifqi Danial Mohd. Razali, 25, atau lebih mesra disapa Ikiyy, kayak bukan sekadar pengangkutan di permukaan air, sebaliknya menjadi senjata penting untuk meneroka lubuk tersembunyi yang sukar didekati pemancing dari tebing.
Anak muda dari Kampung Lati itu biasanya memulakan ekspedisi memancing seawal pagi selepas menunaikan solat subuh.
Lazimnya, dia berkayak seorang diri menyusuri tebing danau yang dipenuhi semak tebal serta kawasan berlumpur sambil memerhatikan pergerakan ikan pemangsa yang diburunya.










