Riyadh: Serpihan daripada dua peluru berpandu balistik yang berjaya dipintas sistem pertahanan udara Arab Saudi dilaporkan jatuh di wilayah Makkah pada Rabu, ketika ketegangan konflik antara negara itu dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak.
Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua pihak terus saling melancarkan serangan susulan peningkatan ketegangan dalam konflik berkenaan yang turut membabitkan kumpulan Houthi disokong Iran.
Stesen televisyen kerajaan Arab Saudi mengenal pasti dua lokasi serpihan peluru berpandu itu jatuh iaitu Kampung Sabuhah, kira-kira 35 kilometer di timur laut Masjidil Haram dan Wadi al-Maghmas, kira-kira 21 kilometer di timur masjid berkenaan.
Pertahanan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua peluru berpandu itu dilancarkan ke arah wilayah berkenaan sebelum berjaya dipintas dan dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara negara itu.






