Kuala Lumpur: Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) menyasarkan nilai transaksi sekitar RM35 juta bagi edisi 2027, meningkat RM10 juta berbanding kira-kira RM25 juta yang direkodkan sebelum ini.
Sasaran itu didorong peluasan acara ke Pantai Timur serta pengenalan model baharu dikenali sebagai Tapestry by ABGR: Singgah Raya, yang dijangka membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan tempatan.
Penganjur Bersama ABFGR dan Tapestry by ABGR: Singgah Raya, Datin Wira Sabrina Abdullah berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran berkenaan berdasarkan pertumbuhan jualan yang direkodkan setiap tahun.
"Setiap tahun, kami melihat pertumbuhan jualan sekitar 20 hingga 25 peratus secara purata dan kami berharap momentum itu dapat diteruskan pada tahun depan," katanya pada sidang media di sini, semalam.








