KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, akan diketahui 20 Januari tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, menetapkan demikian selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan selesai hujahan lisan di akhir kes pendakwaan.
Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, iaitu mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Azlan, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu akan dilepas dan dibebaskan.








