KUALA LUMPUR: Laporan dan bukti membabitkan insiden kekecohan pemain serta pegawai pasukan Kuching City dan Selangor ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu sudah berada dalam tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan rasmi daripada kedua-dua pasukan terbabit berhubung insiden kekecohan di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu.
Noor Azman menjelaskan laporan berkenaan akan diteliti bersama laporan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara itu dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, MFL pada Selasa lalu menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden itu kepada FAM.









