KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima laporan rasmi daripada Kuching City FC dan Selangor FC berhubung insiden kekecohan pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Sarawak Ahad lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, laporan daripada kedua-dua pasukan itu akan diteliti dan ditangani berdasarkan peraturan serta prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
“Laporan berkenaan akan diteliti berserta laporan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara ini dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur.
“Pada 10 November, MFL telah menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden itu kepada FAM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.








