MELAKA: Kurang 24 jam sebelum seluruh rakyat keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, pelbagai cara digunakan oleh parti politik dan penyokong untuk menarik perhatian pengundi.

Di persimpangan lampu isyarat Kampung Bukit Beruang di sini, sekumpulan penyokong Perikatan Nasional (PN) berkumpul bagi menghangatkan suasana kempen pada saat-saat akhir.

Berbekalkan sepanduk dan bahan kempen di tangan, mereka mengambil posisi di laluan sibuk itu dengan merayu pengundi memberikan sokongan kepada calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd. Sharif.

Kehadiran mereka menjadi perhatian pengguna jalan raya di persimpangan berkenaan, dengan ada yang melambaikan tangan sambil menunjukkan simbol sokongan.