KOTA BHARU: Kemudahan sokongan seperti ruang surau, maklumat perjalanan dan pilihan makanan antara aspek yang dikhuatiri bakal menjadi isu dalam kalangan penumpang sejurus operasi tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermula pada 12 Disember ini.
Justeru, penambahbaikan aspek berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana nadi baharu Pantai Timur ini dijangka menjadi pilihan utama rakyat untuk perjalanan jarak jauh yang lebih selesa pada masa hadapan.
Ini kerana berdasarkan tinjauan BH yang menyertai Program Operasi Percubaan ECRL, antara kerisauan yang dikenal pasti adalah penumpang perlu menunggu kira-kira 20 hingga 25 minit untuk mendapatkan giliran menggunakan surau, khususnya ketika perjalanan yang menghampiri waktu akhir solat.







