Kluang: Tindakan seorang lelaki berstatus duda bersembunyi di dalam tandas selepas menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) gagal menyelamatkannya apabila dicekup bersama seorang wanita berstatus janda dalam operasi khalwat di sebuah rumah di daerah ini, hari ini.

Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas penguat kuasa melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi susulan aduan orang awam yang mendakwa seorang lelaki kerap mengunjungi kediaman wanita terbabit.

Menurut JAINJ, berdasarkan maklumat diterima, sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Kadi Kluang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba di lokasi.

Katanya, setibanya di rumah teres yang disewa wanita itu, penguat kuasa mendapati dua kenderaan, masing-masing dipercayai milik wanita dan lelaki terbabit, berada berhampiran kediaman berkenaan.