PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerja-kerja penyelenggaraan saliran dilaksanakan dengan lebih kerap dan segera bagi menangani risiko banjir serta banjir kilat, khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dipersetujui sebagai tindakan segera sementara menunggu projek-projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan disiapkan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat yang membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beberapa pihak lain turut membincangkan penyelarasan penyelenggaraan saliran serta bentuk bantuan yang boleh disediakan bagi meningkatkan kekerapan kerja berkenaan di Selangor.