PETALING JAYA: Pembukaan Faculty of Specialists Hospital (FSH) Ipoh dijangka memperluas akses penduduk Perak kepada rawatan pembedahan khusus, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit mendapatkan perkhidmatan pakar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hospital yang dibangunkan menerusi pengubahsuaian menyeluruh bekas Hospital Ar-Ridzuan itu memberi tumpuan kepada bidang pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT), urologi, pembedahan plastik dan rekonstruktif serta ortopedik.

Kemudahan itu turut menyediakan perkhidmatan penggantian sendi dan intervensi kesakitan bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif FSH Ipoh, Azhar Harun berkata, pembukaan hospital berkenaan tepat pada masanya berikutan peningkatan populasi warga emas di Perak yang mendorong permintaan terhadap rawatan pakar dan pembedahan kompleks.