NEW DELHI: Seorang lelaki di India maut selepas sebiji bom buatan sendiri yang disangka manisan tradisional meletup ketika dimasukkan ke dalam mulutnya.

Mangsa, Rajendra Barautiya, 35, sedang berkumpul bersama penduduk kampung di sekitar unggun api pada Selasa di daerah Dindori, negeri Madhya Pradesh, apabila seorang lelaki membawa bahan letupan itu sebelum seorang lagi memberikannya kepada mangsa.

Bom berkenaan dipercayai menyerupai rasgulla, manisan tradisional India berbentuk bulat, lembut dan disaluti sirap gula yang lazimnya dimakan sebiji tanpa dipotong.

Menurut polis, bahan letupan buatan sendiri itu digunakan sesetengah masyarakat luar bandar untuk membunuh babi hutan dengan memasukkan serbuk letupan ke dalam bebola doh.