NIBONG TEBAL: Jabatan Penjara Malaysia merancang memperluas Program Kompas Sejahtera ke seluruh negara bagi membantu prospek membina semula kehidupan berkeluarga khususnya dalam mengembalikan peranan mereka sebagai bapa dan suami yang bertanggungjawab.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, pendekatan pemulihan itu penting bagi membentuk prospek yang bukan sahaja mampu memperbaiki diri, malah bersedia kembali kepada keluarga dan masyarakat dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan individu yang dibebaskan kelak mempunyai kesedaran, pengetahuan serta kemahiran untuk kembali menjalani kehidupan bermasyarakat sekali gus mengurangkan risiko pengulangan kesalahan.