KUALA LUMPUR: Selepas melalui beberapa peringkat ujian dan persiapan operasi, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membuka lembaran baharu pengangkutan awam negara apabila perkhidmatan penumpang komersialnya dijadualkan bermula 12 Disember ini.

Projek mega sepanjang 665 kilometer itu bukan sahaja menghubungkan empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, malah dijangka mengubah landskap perjalanan darat antara Lembah Klang dengan Pantai Timur.

Perjalanan dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu, Kelantan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira tujuh jam menerusi jalan raya dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar empat jam menggunakan perkhidmatan tren ekspres ECRL.

BH turut berkesempatan melihat sendiri fasiliti yang ditawarkan dalam ECRL antaranya ruang tempat duduk selesa. Tren ECRL menyediakan susun atur tempat duduk kelas ekonomi dengan konfigurasi 2+3, manakala kelas perniagaan menawarkan susunan 2+2 yang lebih luas, selain ruang kaki selesa untuk penumpang.