BUTTERWORTH: Seorang pelarian Myanmar didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi tujuan pendaftaran dan penggunaan kad Touch 'n Go.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajimul Khan Syafiullah, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kad pengenalan milik seorang individu bagi tujuan penggunaan kad Touch 'n Go di Jalan Bertam 2, Kepala Batas, kira-kira jam 4 petang 3 November lalu.