KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan perolehan sistem peluru berpandu jelajah supersonik BrahMos dari India, sebaliknya ia masih di peringkat penerokaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap perancangan perolehan dibuat dengan mengutamakan tahap kesiagaan dan keupayaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Cadangan perolehan sistem peluru berpandu BrahMos dibangkitkan dalam perbincangan awal di peringkat kerajaan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada September lalu.

"Bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat penerokaan dan belum mendapat sebarang ketetapan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam tadi.