TUMPAT: Serbuan dijalankan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di sebuah rumah di Kampung Bunohan, di sini, jam 4.30 petang semalam, membawa kepada rampasan dua tan beras seludup.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata lelaki berusia 22 tahun yang juga pemilik rumah terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan di ruang tamu rumah terbabit menemukan 80 kampit beras seberat dua tan yang disyaki di seludup dari Thailand.

"Suspek memberitahu sudah terbabit dalam aktiviti membeli beras seludup bermula tahun lalu untuk jualan sekitar Kota Bharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.