KUALA LUMPUR: Isu pekerja Muslim yang mengendalikan barangan tidak halal di premis perniagaan bercampur bakal ditangani menerusi satu garis panduan khusus yang sedang dirangka kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Perundangan Syariah mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan serta mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menangani isu itu.
Katanya, sesi libat urus itu diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Sumber Manusia.
"Antara pendekatan yang diberi perhatian adalah penyediaan garis panduan kepada orang Islam bekerja di premis bercampur khususnya yang menjalankan aktiviti perniagaan membabitkan barangan halal dan tidak halal seperti arak.









