BERMULA di dewan kuliah ke makmal penyelidikan, seterusnya ke industri dan komuniti, Prof. Madya Ts. Dr. Aida Firdaus MN Azmi membuktikan bahawa ilmu mempunyai nilai lebih besar apabila diterjemahkan dalam aspek kehidupan.
Menurut usahawan dan Pensyarah Sains dan Teknologi Makanan di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, peranan seorang ilmuan bukan sekadar menyampaikan ilmu di dewan kuliah atau menghasilkan penerbitan akademik.
“Lebih daripada itu, saya percaya kepakaran universiti harus dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi oleh industri dan masyarakat.
“Sebagai pensyarah dalam teknologi permakanan, saya sentiasa proaktif merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri melalui penyelidikan, pembangunan produk inovatif, pengkomersialan teknologi serta pemindahan ilmu kepada komuniti,” katanya ketika ditemui di UiTM Shah Alam, Selangor baru-baru ini.










