KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang warga asing ditahan manakala 64,100 liter diesel bernilai RM439,085 yang disyaki diseleweng dirampas dalam serbuan Op Taring Bravo 1 di sebuah premis di kawasan perindustrian di Kedah pada Rabu lepas.

Serbuan kira-kira 11.30 malam itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Komander WCB/PSK Datuk Mohd Zaki Ashar berkata kesemua individu terbabit dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada rampasan pelbagai peralatan dan kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.